Isnin, 23 April 2018

"Aktiviti Sastera Zurinah Hassan di Akaun Facebook Miliknya"





PENDAHULUAN
            Penyebaran karya sastera era ini menunjukkan satu perubahan yang drastik apabila tidak lagi tertumpu kepada medium penulisan yang dibukukan sahaja, tetapi telah berkembang menggunakan perantara internet seperti media sosial, blog dan laman web. Umumnya, pada hari ini kebanyakan penulis-penulis dan pengkarya lebih kerap berkarya di media sosial berbanding menghasilkan karya yang dibukukan. Hal ini dapat dibuktikan apabila penulis-penulis ini begitu aktif memuatkan karya-karya mereka dalam media sosial. Salah seorang pengkarya yang sangat aktif di laman sosial ialah Sasterawan Negara iaitu Zurinah Hassan.
            Sasterawan Negara ini amat terkenal sekali di negara kita dan seringkali jasanya menjadi sebutan masyarakat. Beliau dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu, Sekolah Convent Sungai Petani serta Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Kanan Penerangan, menjadi tenaga Pengajar di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia serta sebagai Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau memperolehi ijazah Sarjana dari UPM dan Ph.D dari Universiti Malaya. Beliau dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Setia Diraja Kedah pada 2013. Jasanya pada bidang sastera dapat dilihat dalam penghasilan puisi, cerpen, novel, kritikan seni, buku terjemahan, kertas kerja sastera dan banyak lagi. Sejak akhir-akhir ini dapat dilihat bahawa beliau sangat memanfaatkan medium sosial iaitu muka buku sebagai wadah dalam penyampaian karya sastera kepada masyarakat. Dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan tentang aktiviti-aktiviti Zurinah Hassan dalam akaun muka buku miliknya yang berkaitan dengan karya sastera.
PERBINCANGAN
            Zurinah Hassan telah membuka akaun muka bukunya pada tahun 2009 dan kiriman  pertama beliau di muka buku bertarikh 9 Jun 2009. Sehingga ke hari ini beliau masih aktif menggunakan akaun muka buku miliknya untuk pelbagai perkara. Antara aktiviti-aktiviti sastera yang telah dilakukan oleh beliau di dalam muka bukunya ialah:

1. menyebarkan karya-karya sastera
2. berkongsi tentang program-program sastera
3. perkongsian ilmu dalam bidang sastera
4. pandangan terhadap karya-karya sastera yang diberikan secara peribadi
5. mempromosikan karya sendiri serta programnya untuk disertai oleh golongan yang berminat

            Daripada aspek penyebaran karya-karya sastera di laman muka buku, beliau sangat aktif untuk berkongsi hasil-hasil karya sastera yang dihasilkan oleh beliau sendiri dan hasil karya yang turut dihasilkan oleh penulis-penulis lain. Berdasarkan penelitian penulis, sasterawan negara ini banyak berkongsi hasil karya daripada pelbagai jenis bahan sastera namun yang paling kerap sekali dikongsikan oleh beliau adalah daripada jenis cerpen, sajak dan puisi. Sebagai contohnya, cerpen-cerpen yang pernah dikongsikan oleh beliau di laman muka bukuya ialah cerpen Dendam Belantara dan Menjelang Pemilihan. Sajak yang pernah dikongsikan pula adalah seperti Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu, Are You Still Playing Your Flute, Dusun yang Hilang dan banyak lagi. Perkara yang menarik perhatian penulis dalam perkongsian ini, beliau dilihat pandai memanfaatkan medium muka buku dengan menggunakan video, gambar, audio dan sebagainya untuk menarik perhatian pengguna lain. Hal ini sememangnya dapat menarik perhatian pengguna muka buku yang lain kerana karya sastera itu sudah tidak perlu dibaca di dalam buku lagi serta lebih interaktif sifatnya dalam media sosial.
            Selain itu juga, aktiviti yang jelas dapat dilihat dalam akaun muka bukunya ialah beliau sentiasa berkongsi tentang program-program sastera yang berlaku di negara kita dan khususnya yang melibatkan beliau sendiri. Program-program sastera yang dikongsikan itu bukan sahaja berlangsung di negara kita malahan turut melibatkan negara-negara asing lain seperti Indonesia, Thailand, Brunei, India dan banyak lagi. Antara program-program sastera yang pernah dikongsikan oleh beliau ialah Diskusi Budayawan Selangor, Gegar Puisi 2, Program Diskusi Bersama Tokoh Sasterawan Negara, Festival Persuratan Melayu Nusantara, Bengkel Mengarang Syair dan Puisi di APM dan banyak lagi. Berdasarkan penelitian penulis, jumlah peserta-peserta yang menyertai program-program ini sememangnya agak ramai dan amat membanggakan kerana masih wujud golongan yang meminati sastera walaupun negara sedang menghadapi arus pemodenan. Bukan itu sahaja, peserta-peserta dan pengkarya-pengkarya yang hadir tidak tertumpu hanya kepada rakyat Malaysia semata-mata tetapi turut melibatkan penyertaan dari negara-negara lain. Manfaatnya di sini dapat dilihat terwujudnya hubungan antara pelbagai negara dalam satu bidang yang diminati bersama iaitu aspek sastera. Perkongsian program-program ini juga memperlihatkan Dato Dr Zurinah Hassan sangat aktif bagi memastikan kelangsungan bidang sastera dalam negara kita khususnya dan dunia umumnya.
            Bukan itu sahaja, beliau sangat terbuka dalam berkongsi ilmu berkaitan bidang sastera dengan pengguna-pengguna muka buku yang lain. Ilmu dan pengalaman beliau dalam bidang sastera sememangnya tidak dapat disangkal kebenarannya. Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau banyak berkongsi tentang ilmu sastera kepada masyarakat seperti garis panduan mengarang puisi, pantun: antara pembayang dan maksud, penggunaan hiperbola dan personafikasi dalam pantun, serta banyak lagi. Perkongsian ini dilakukan secara percuma dengan memuat naik status di laman muka buku beliau. Kesannya masyarakat mendapat input dan maklumat jelas mengenai ilmu sastera dari tokoh yang berwibawa dalam bidang berkenaan. Selain itu, beliau juga dilihat sentiasa memberi pandangan terhadap isu dan hasil karya yang dihasilkan pada zaman sekarang. Antara pandangan yang diutarakan beliau dalam muka bukunya ialah berkenaan unsur alam dalam puisi penyair Sabah, pandangan terhadap filem BILUT 2016 dan banyak lagi. Sebagai seorang yang mempunyai kemahiran dalam bidang sastera, pendapat beliau perlulah diterima dan digunakan dalam penghasilan karya-karya lain pada masa akan datang.
            Beliau juga memanfaatkan akaun muka bukunya untuk mempromosi program-program dan hasil karya sasteranya. Hal ini dapat dilihat apabila sesuatu karyanya yang sudah siap dihasilkan dan bakal di jual di pasaran, maka beliau akan mempromosikan perkara ini kepada rakan-rakan muka bukunya. Program-program yang dianjurkan khususnya melibatkan beliau sebagai panel atau fasilitator akan diwar-warkan di media sosial ini demi menarik perhatian para pengguna muka buku yang lain. Antara contoh hasil karya sasteranya yang dipromosikan dalam muka buku ialah Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan 2004, Puisi Melayu Tradisional, Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden dan banyak lagi. 

 



Program-program atau bengkel-bengkel yang pernah dipromosikannya pula ialah Bengkel Penghayatan Pantun, Kembara Budi Sasterawan Negara, Program Titisan Ilmu dan Taburan Budi serta banyak lagi. Nama dan imejnya yang gah dalam bidang sastera telah memperlihatkan sambutan yang hebat dalam kalangan masyarakat di negara kita dan beberapa negara lain.
            Akhir sekali, aktiviti yang dapat dilihat dalam akaun muka buku milik Zurinah Hassan ialah beliau bersifat terbuka ketika berinteraksi dengan rakan-rakan pengguna muka buku  yang lain. Hal ini dapat dilihat apabila beliau sentiasa membalas pertanyaan rakan-rakan tentang isu sastera, membalas kebanyakan komen-komen orang lain dalam akaunnya dan banyak lagi. Walaupun sibuk dalam perjuangan memartabatkan sastera namun beliau masih ada masa untuk berinteraksi dengan pengguna facebook yang lain. Selain itu juga, beliau bersifat terbuka terhadap pandangan orang lain terhadap karya sastera yang dihasilkannya. Hal ini dapat dilihat apabila beliau sudi untuk berkongsikan pandangan-pandangan orang lain dengan memuat naik status di akaun muka bukunya. Penggunaan muka buku ini membolehkan interaksi berlaku antara penghasil karya dengan pembacanya. Hubungan dua hala ini mungkin dapat memberi impak positif terhadap mutu penghasilan karya sastera pada masa hadapan.

PENUTUP
            Dengan ini jelaslah, Zurinah Hassan sememangnya aktif dalam akaun muka bukunya. Pelbagai aktiviti dilakukan oleh beliau dalam aplikasi berkenaan. Sifatnya yang aktif dan terbuka dalam media sosial ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat khasnya dalam penyebaran karya-karya sastera yang semakin dipinggirkan hari ini. Melalui akaun muka bukunya, dapat disimpulkan bahawa beliau telah memanfaatkan salah satu ciptaan kemodenan iaitu media sosial sebagai salah satu medium lain dalam memperjuangkan martabat bahasa Melayu di negara kita khususnya dan dunia umumnya. Diharapkan para penulis dan pengkarya lain turut sama menggunakan medium media sosial sebagai tempat untuk berkarya kerana cita rasa masyarakat pada hari ini sudah berubah dan tidak lagi sama seperti dahulu yang mengharapkan karya-karya sastera dihasilkan dalam buku sahaja.

Jumaat, 13 April 2018

PEMASARAN BUKU FIXI



Image result for fixi
Syarikat penerbitan buku pada masa kini semakin berkembang luas bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Salah satunya adalah adalah syarikat penerbitan buku FIXI. Buku FIXI ialah penerbit buku bebas Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2011 oleh pembikin filem Amir MuhammadNama syarikat tersebut diambil dari perkataan Bahasa Indonesia ‘fiksi’ yang mana juga diambil dari perkataan Bahasa Inggeris ‘fiction’. Ianya  juga dipetik dari Bahasa Perancis Lama ‘ficcion’, dan juga menggunakan Bahasa Latin ‘fiction'. Nama Fixi dipilih sebagai simbolik yang menandakan tidak ada apa-apa yang asli dalam dunia pernovelan. Pengasas FIXI ini mendapat ilham untuk menubuhkan syarikat ini selepas menghadiri majlis anugerah buku tempatan. Merujuk kepada laman sesawang syarikat penerbitan FIXI ini, dapat dilihat bahawa syarikat itu mengkhususkan bukan sahaja dalam cereka urban kontemporari akan tetapi menjurus kepada pelbagai aspek karya seperti seram, aksi, cerpen, jenayah, komedi, politik, sosial, remaja dan sebagainya.  Sebagai contohnya dalam genre seram seperti Puaka, Asrama dan Dihantu. Jenayah pula adalah seperti Bingit, Buruan, dan Dark City. Dan akhir sekali, politik memuatkan karya seperti SejadahSetelah meneliti buku-buku yang dijual di lamkan sesawangnya, buku yang dihasilkan oleh FIXI ini adalah dalam bahasa Melayu dan juga Inggeris selain turut sama melakukan terjemahan bahasa asing dan novel grafik.
‘Button’ utama yang termuat di dalam lawan sesawang ini:
·         Utama
·         6 Pack FIXI
·         Koleksi
·         Siri Label
·         Penerbit
·         Genre
·         Bakul

Perkara lain yang termuat di dalam laman sesawang tersebut adalah koleksi buku dan siri label. Apa yang menariknya di dalam laman tersebut, siri label tersebut mengkelaskan buku-buku tersebut kepada beberapa bahagian seperti :
·         Buku-buku Malaysia dalam Bahasa Inggeris di bawah label Fixi Novo
·         Buku-buku ‘lama’ di bawah label Fixi Retro.
·         Terjemahan karya bestseller dunia yang terbaru pula diletakkan di bawah label Fixi Verso.

‘Bestseller’ bagi karya FIXI juga turut termuat di dalam laman sesawang ini seperti Gantung, Puaka, Salafi, Kampus dan Kacau. Di dalam laman ini juga turut menyatakan harga buku-buku yang dijual selain turut menyertakan cara-cara untuk pembelian atas talian dan kadar caj penghantarannya.. Di samping itu, pihak FIXI juga turut menyediakan peluang bagi para pembacanya untuk berinteraksi dan bertanya soalan kepada mereka.
Senarai penerbit dari syarikat penjualan buku yang lain turut disertakan di dalam laman sesawang ini. Antaranya seperti Dubook, Lejen, Matahari, Neon, dan pelbagai lagi. Selain itu, di dalam laman sesawang ini turut memuatkan sehingga 1,000 buah buku dan menjual 92 judul buku terbitan Fixi.

Sabtu, 24 Mac 2018

"Angan-Angan Mat Jenin?"




"ANGAN ANGAN MAT JENIN SEBAGAI LAMBANG PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN FUTURISTIK"

Sejak kecil lagi kita sudah mendengar Cerita Jenaka Mat jenin. Namun dewasa ini cerita Mat Jenin sudah samar-samar di ingatan kita. Mari sama-sama kita saksikan video ringkas tentang Cerita Jenaka Mat Jenin ini. 

Cerita Jenaka Mat Jenin merupakan salah satu jenis cerita jenaka yang termasuk dalam prosa tradisional. Cerita ini berkisarkan satu bentuk pemikiran yang diilhamkan dari sebuah angan-angan. Angan-angannya bermula dari mendapat upah sehinggakan bertemu dengan puteri raja. Dia berangan untuk menggunakan upah memanjat pokok kelapa bagi membeli 20 biji telur ayam kampung. Setelah itu dia berhasrat telur ayam itu dieramkan dan bercadang menjual ayam-ayamnya. Kemudiannya wang itu akan digunakan untuk membeli beberapa ekor kambing. Setelah kambing membesar dia akan menjualnya dan membeli beberapa ekor lembu. Apabila lembu membesar dia berhasrat untuk membeli beberapa ekor kuda. 
Jika diteliti secera holistik berkenaan angan-angan yang dikemukakan di dalam Cerita Mat Jenin ini, beliau mempunyai satu bentuk perancangan yang jelas berkenaan masa hadapan. Bermula daripada bawah iaitu hasil upah mengutip buah kelapa, Dia ingin mengembangkan angan-angan tersebut untuk membeli telur ayam dan setelah menetas dan menghasilkan telur yang baru, dia ingin membeli kambing, lembu dan sebagainya. Perincinan yang jelas terhadap visi dan wawasannya untuk menjadi seorang penternak atau usahawan yang bermula dari bawah dan seterusnya berkembang maju. Pemikiran tersebut pada zaman dahulu boleh dianggap pemikiran yang maju dan terkehadapan berikutan sistem masyarakat pada zaman dahulu yang lebih kepada ekonomi sara diri dan sistem barter umumnya.
Pada waktu dahulu, setiap yang dicipta di sekeliling kita pada dasarnya dianggap sebagai satu bentuk angan-angan oleh masyarakat setempat pada ketika itu. Misalnya adik beradik Wrights dianggap gila, Alexender Graham Bell dianggap kuat berangan kerana ingin bercakap dengan orang yang jauh dan Watts ditertawakan orang kerana menyumbat kendi air yang menggelegak. Begitu juga dengan hasil kekreatifan Mat Jenin dalam menghasilkan satu bentuk perniagaan dan bukanlah hanya omongan retorik semata-mata. Dapat dilihat disana mereka kesemuanya dilihat suka-berangan-angan, kemudian mempunyai pemikiran kreatif dan seterusnya mencipta kejayaan.
Inovatif secara umum memiliki makna iaitu mencurahkan segala kemampuan diri dalam berfikir untuk menciptakan sesuatu yang baru bagi diri kita mahupun masyarakat dan lingkungan sekitar kita. Inovatif yang ingin dilakukan oleh Mat Jenin iaitu daripada sebiji telur ayam yang kemudiannya mampu menjadi seekor kuda. Beliau ingin mengembangkan hasil pemikirannya kepada sesuatu yang baharu dan lebih berharga.
Dari segi bentuk futuristik, watak Mat Jenin tersebut adalah satu bentuk watak yang mempunyai perancangan yang cemerlang. Beliau dilahirkan dalam ruang lingkup yang amat terbatas. Tidak mempunyai sebarang aset berbentuk fizikal dan material yang menonjol tetapi mempunyai daya berfikir yang positif, kreatif dan imaginatif. Perkara Ini meletakkan posisinya jauh terkehadapan daripada manusia seangkatannya pada waktu tersebut. Perkara menarik mengenainya adalah keupayaannya berfikir, merangka strategi dan melaksanakan pelan tindakannya secara kemas, rapi tersusun dan bersistematik. Manusia biasa yang tidak memiliki daya fikir yang tinggi akan gagal menerokai lapisan dan variasi pola pemikiran dan strategi Mat Jenin. Mat Jenin berupaya berfikir untuk melonjakkan status-quonya daripada manusia miskin kepada jutawan.
Perkara ini juga mampu menjadi cerminan sosial kepada masayarakat kita untuk berani berfiir dan berwawasan. Anehnya wataknya hanya dimatikan sedemikian sebagai seorang yang kuat berangan dan mati ketika berangan tanpa diketengahkan inti sari angan-angan tersebut. Mereka yang menulis tentang Mat Jenin harus kuat dan luas imaginasi mereka. Perkara tersebut boleh dijadikan satu bentuk pelajaran khususnya masyarakat sekarang untuk berani kehadapan dan meneroka segala bentuk peluang yang ada pada masa kini. Sepatutnya imaginasi beliau diperpanjangkan seperti kegilaan tokoh-tokoh barat yang lain.  Melihat kepada futuristik, Mat Jenin itu adalah kita, adalah Melayu yang pada setiap detik dan ketika mahu mencipta angan-angan dan merealisasikan menerusi usaha yang bersungguh-sungguh. 
Kesimpulannya, Mat Jenin merupakan satu perwatakan yang mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif dan futuristik. Pemikiran ini sewajarnya wujud dalam setiap pemikiran masyarakat pada hari ini. Tidak salah untuk berfikir dan merancang untuk menjadi seseorang yang hebat. Sepatutnya kita tidak boleh merendahkan impian dan pemikiran orang lain. Hal ini demikian kerana setiap daripada kita mempunyai impian tersendiri dan memerlukan dorongan daripada orang sekeliling untuk memastikan kita berjaya merealisasikan wawasan itu.

Ahad, 11 Mac 2018

Sorotan Kajian Berkenaan E-Sastera


SASTERA SIBER DAN PERKEMBANGANNYA DI MALAYSIA (SUMBER TEMPATAN)
Kajian Chew Fong Peng (2009), iaitu “Sastera Siber dan Perkembangannya di Malaysia” memperlihat berkenaan era teknologi maklumat yang telah merubah wajah sastera Melayu dari bentuk lisan dan bercetak kepada bentuk sastera siber menerusi kemudahan internet. Menurut kajian tersebut terdapat lebih 542 laman web khusus untuk sastera siber Melayu di internet. Di Malaysia terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan kelompok muda untuk berkarya. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pengedaran borang soal selidik dan temubual. Hasil kajian mendapati terdapatnya beberapa faktor yang mendorong penyertaan masyarakat dalam berkarya menerusi alam siber. Menurut kesimpulan di dalam kajian beliau karya sastera alam maya adalah bersifat lebih dinamik dan hidup. Dalam pada itu, soal jaminan mutu anjakan paradigma masyarakat, yakni tugas untuk memastikan mutu karya kreatif itu terletak di bahu pengarang itu sendiri. Berikutan itu, karya E-Sastera memberikan ruang interaksi antara penulis dengan pembaca.

Chew Fong Peng  (2009), “Sastera Siber dan Perkembangannya di Malaysia”.
 Penerbitan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

IMPACT OF TECHNOLOGICAL ADVANCEMENT ON LITERATURE (SUMBER LUAR NEGARA)

Bharat R Gugane telah melakukan kajian terhadap e-sastera dalam jurnalnya yang bertajuk “Impact of Technological Advancement on Literature” (2014). Penulisannya adalah bertujuan untuk melihat impak positif dan negatif teknologi terhadap karya dan bidang kesusasteraan itu sendiri.
Menurut Arnold, kesusasteraan ialah perkara asas dalam mengenali diri sendiri dan dunia ini manakala sains ialah satu perkara yang perlu dilihat dalam sastera. Maka sains merupakan satu bahagian dalam sastera. Ramai penulis yang mengaitkan hubungan sains dan sastera pada sebelum ini. D.H.Lawrence pula mengatakan sains ialah bidang ilmu tentang manusia dalam bentuk yang separa manakala sastera ialah kajian manusia dalam bentuk yang penuh atau hakiki. Beliau menyatakan teknologi merupakan agen penghubung kepada sains dan sastera. Teknologi telah mengubah budaya, sosial, dan kehidupan berekonomi manusia secara drastik dari zaman yang lepas. Kesusasteraan turut terikut dengan perkembangan teknologi pada hari ini. Hal ini kita dapat lihat sastera pada zaman dahulu cuma mampu untuk dibukukan tapi pada zaman teknologi ini semuanya dalam bentuk digital serta mampu diakses hanya menggunakan telefon bimbit dan komputer. Antara impak positif teknologi dalam sastera ialah penghasilan bahan sastera semakin mudah jika dibandingkan pada zaman dahulu. Jika dahulu buku dibukukan oleh penulis dan memakan masa beberapa bulan untuk diterbitkan tetapi dengan adanya teknologi, buku dihasilkan dalam bentuk digital dan boleh diakses menggunakan internet sahaja. Buku dalam bentuk digital lebih dapat menarik minat pembaca berbanding buku yang dibukukan. Sebagai contohnya Amazon iaitu salah satu nama besar dalam penghasilan buku telah menghasilkan “Kindle”, satu perisian elektronik untuk membaca buku. Selain itu, pengkarya dan penulis lebih bebas untuk berkarya dalam e-sastera kerana tidak menggunakan kos. Mereka boleh berkarya dan menyampaikan imaginasi mereka melalui blog mereka sendiri. Bukan itu sahaja, penulis juga boleh berinteraksi dengan pembaca melalui teknologi. Hal ini berbeza dengan buku tradisional yang menghadkan interaksi antara pembaca dan pengkarya.
Terdapat juga impak negatif e-sastera kepada masyarakat dan dunia. Salah satunya ialah ia memerlukan pengetahun dalam bidang teknologi untuk mengakses bahan sastera. Masih ramai lagi masyarakat yang tidak pandai menggunakan komputer, telefon bimbit dan alat teknologi yang lain. Selain itu, kualiti karya sastera juga mungkin berkurangan. Hal ini kerana pengkarya obses menghasilkan kuantiti karya yang banyak tanpa menitikberatkan kualiti sesebuah karya itu. Maka bidang sastera dipenuhi dengan bahan-bahan penulisan yang kurang berkualiti.
Teknologi dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana ianya saing berkaitan. Sastera merupakan saksi rakaman kehidupan manusia sejak dahulu lagi. Manakala kehadiran teknologi telah mengubah bidang sastera dari segi penghasilan karya dan pengedaran buku-buku sastera. Perubahan yang ketara ialah daripada bentuk buku bertulis kepada bentuk buku digital.

Bharat R Gugane (2014), “Impact Of Technological Advancement On Literature”.
New Man International Journal Of Multidisciplinary Studies, Department of English, Bhonsala Military College, Rambhoomi, Nashik (MS).