Sabtu, 24 Mac 2018

"Angan-Angan Mat Jenin?"




"ANGAN ANGAN MAT JENIN SEBAGAI LAMBANG PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN FUTURISTIK"

Sejak kecil lagi kita sudah mendengar Cerita Jenaka Mat jenin. Namun dewasa ini cerita Mat Jenin sudah samar-samar di ingatan kita. Mari sama-sama kita saksikan video ringkas tentang Cerita Jenaka Mat Jenin ini. 

Cerita Jenaka Mat Jenin merupakan salah satu jenis cerita jenaka yang termasuk dalam prosa tradisional. Cerita ini berkisarkan satu bentuk pemikiran yang diilhamkan dari sebuah angan-angan. Angan-angannya bermula dari mendapat upah sehinggakan bertemu dengan puteri raja. Dia berangan untuk menggunakan upah memanjat pokok kelapa bagi membeli 20 biji telur ayam kampung. Setelah itu dia berhasrat telur ayam itu dieramkan dan bercadang menjual ayam-ayamnya. Kemudiannya wang itu akan digunakan untuk membeli beberapa ekor kambing. Setelah kambing membesar dia akan menjualnya dan membeli beberapa ekor lembu. Apabila lembu membesar dia berhasrat untuk membeli beberapa ekor kuda. 
Jika diteliti secera holistik berkenaan angan-angan yang dikemukakan di dalam Cerita Mat Jenin ini, beliau mempunyai satu bentuk perancangan yang jelas berkenaan masa hadapan. Bermula daripada bawah iaitu hasil upah mengutip buah kelapa, Dia ingin mengembangkan angan-angan tersebut untuk membeli telur ayam dan setelah menetas dan menghasilkan telur yang baru, dia ingin membeli kambing, lembu dan sebagainya. Perincinan yang jelas terhadap visi dan wawasannya untuk menjadi seorang penternak atau usahawan yang bermula dari bawah dan seterusnya berkembang maju. Pemikiran tersebut pada zaman dahulu boleh dianggap pemikiran yang maju dan terkehadapan berikutan sistem masyarakat pada zaman dahulu yang lebih kepada ekonomi sara diri dan sistem barter umumnya.
Pada waktu dahulu, setiap yang dicipta di sekeliling kita pada dasarnya dianggap sebagai satu bentuk angan-angan oleh masyarakat setempat pada ketika itu. Misalnya adik beradik Wrights dianggap gila, Alexender Graham Bell dianggap kuat berangan kerana ingin bercakap dengan orang yang jauh dan Watts ditertawakan orang kerana menyumbat kendi air yang menggelegak. Begitu juga dengan hasil kekreatifan Mat Jenin dalam menghasilkan satu bentuk perniagaan dan bukanlah hanya omongan retorik semata-mata. Dapat dilihat disana mereka kesemuanya dilihat suka-berangan-angan, kemudian mempunyai pemikiran kreatif dan seterusnya mencipta kejayaan.
Inovatif secara umum memiliki makna iaitu mencurahkan segala kemampuan diri dalam berfikir untuk menciptakan sesuatu yang baru bagi diri kita mahupun masyarakat dan lingkungan sekitar kita. Inovatif yang ingin dilakukan oleh Mat Jenin iaitu daripada sebiji telur ayam yang kemudiannya mampu menjadi seekor kuda. Beliau ingin mengembangkan hasil pemikirannya kepada sesuatu yang baharu dan lebih berharga.
Dari segi bentuk futuristik, watak Mat Jenin tersebut adalah satu bentuk watak yang mempunyai perancangan yang cemerlang. Beliau dilahirkan dalam ruang lingkup yang amat terbatas. Tidak mempunyai sebarang aset berbentuk fizikal dan material yang menonjol tetapi mempunyai daya berfikir yang positif, kreatif dan imaginatif. Perkara Ini meletakkan posisinya jauh terkehadapan daripada manusia seangkatannya pada waktu tersebut. Perkara menarik mengenainya adalah keupayaannya berfikir, merangka strategi dan melaksanakan pelan tindakannya secara kemas, rapi tersusun dan bersistematik. Manusia biasa yang tidak memiliki daya fikir yang tinggi akan gagal menerokai lapisan dan variasi pola pemikiran dan strategi Mat Jenin. Mat Jenin berupaya berfikir untuk melonjakkan status-quonya daripada manusia miskin kepada jutawan.
Perkara ini juga mampu menjadi cerminan sosial kepada masayarakat kita untuk berani berfiir dan berwawasan. Anehnya wataknya hanya dimatikan sedemikian sebagai seorang yang kuat berangan dan mati ketika berangan tanpa diketengahkan inti sari angan-angan tersebut. Mereka yang menulis tentang Mat Jenin harus kuat dan luas imaginasi mereka. Perkara tersebut boleh dijadikan satu bentuk pelajaran khususnya masyarakat sekarang untuk berani kehadapan dan meneroka segala bentuk peluang yang ada pada masa kini. Sepatutnya imaginasi beliau diperpanjangkan seperti kegilaan tokoh-tokoh barat yang lain.  Melihat kepada futuristik, Mat Jenin itu adalah kita, adalah Melayu yang pada setiap detik dan ketika mahu mencipta angan-angan dan merealisasikan menerusi usaha yang bersungguh-sungguh. 
Kesimpulannya, Mat Jenin merupakan satu perwatakan yang mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif dan futuristik. Pemikiran ini sewajarnya wujud dalam setiap pemikiran masyarakat pada hari ini. Tidak salah untuk berfikir dan merancang untuk menjadi seseorang yang hebat. Sepatutnya kita tidak boleh merendahkan impian dan pemikiran orang lain. Hal ini demikian kerana setiap daripada kita mempunyai impian tersendiri dan memerlukan dorongan daripada orang sekeliling untuk memastikan kita berjaya merealisasikan wawasan itu.

10 ulasan:

  1. Info yang menarik. Satu ideologi cerita dahulu kala yang masih praktikal untuk digunakan sehingga kini

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tuan. Jika angan-angan yang bernas itu dilaksanakan pasti akan mendatangkan hasilnya.

      Padam
  2. Alahai Mat Jenin. Angan² mu hanya tinggal angan² sahaja

    BalasPadam
    Balasan
    1. Begitulah nasib Mat Jenin. Semoga kita mendapat pengajaran dari cerita jenaka ini

      Padam
  3. Cerita yang menarik. Mat jenin nie sama macam kawan saya yang kuat berangan-angan nak mincipta bahasa baru kat dunia nie. Orang panggil dia "Zul Gedebba"

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bagi saya penghasilan bahasa baru bukan mudah kerana untuk mewujudkan komuniti yang menuturkan bahasa baru itu amatlah sukar sekali saudara.

      Padam
  4. Satu pemikiran yg menarik. Tapi saya nak tanya. Adakah Mat jenin ni satu watak yg sengaja diadakan oleh penjajah barat untuk melemahkan masyarakat Melayu pada ketika itu?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya berpendapat dengan saudari berkenaan hal ini. Boleh dikatakan begitu. Hal ini berikutan penjajah dilihat menanam minda pascakolonial di dalam masyarakat dahulu sehingga mereka melebelkan diri mereka sebagai lemah pemalas dan termasuklah angan-angan tersebut.

      Padam