PENDAHULUAN
Penyebaran karya sastera era ini
menunjukkan satu perubahan yang drastik apabila tidak lagi tertumpu kepada
medium penulisan yang dibukukan sahaja, tetapi telah berkembang menggunakan
perantara internet seperti media sosial, blog dan laman web. Umumnya, pada hari
ini kebanyakan penulis-penulis dan pengkarya lebih kerap berkarya di media
sosial berbanding menghasilkan karya yang dibukukan. Hal ini dapat dibuktikan
apabila penulis-penulis ini begitu aktif memuatkan karya-karya mereka dalam
media sosial. Salah seorang pengkarya yang sangat aktif di laman sosial ialah
Sasterawan Negara iaitu Zurinah Hassan.
Sasterawan Negara ini amat terkenal
sekali di negara kita dan seringkali jasanya menjadi sebutan masyarakat. Beliau
dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Alor Setar, Kedah dan mendapat pendidikan awal
di Sekolah Melayu Tikam Batu, Sekolah Convent Sungai Petani serta Sekolah
Sultanah Asma Alor Setar. Setelah itu, beliau melanjutkan pelajaran di
Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau pernah berkhidmat sebagai
Pegawai Kanan Penerangan, menjadi tenaga Pengajar di Universiti Malaya dan Universiti
Sains Malaysia serta sebagai Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau memperolehi ijazah Sarjana dari UPM dan Ph.D dari Universiti Malaya.
Beliau dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Setia Diraja Kedah pada 2013.
Jasanya pada bidang sastera dapat dilihat dalam penghasilan puisi, cerpen,
novel, kritikan seni, buku terjemahan, kertas kerja sastera dan banyak lagi.
Sejak akhir-akhir ini dapat dilihat bahawa beliau sangat memanfaatkan medium
sosial iaitu muka buku sebagai wadah dalam penyampaian karya sastera kepada
masyarakat. Dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan tentang aktiviti-aktiviti
Zurinah Hassan dalam akaun muka buku miliknya yang berkaitan dengan karya
sastera.
PERBINCANGAN
Zurinah Hassan telah membuka akaun
muka bukunya pada tahun 2009 dan kiriman pertama beliau di muka buku bertarikh 9 Jun
2009. Sehingga ke hari ini beliau masih aktif menggunakan akaun muka buku
miliknya untuk pelbagai perkara. Antara aktiviti-aktiviti sastera yang telah
dilakukan oleh beliau di dalam muka bukunya ialah:
1. menyebarkan karya-karya
sastera
2. berkongsi tentang program-program sastera
3. perkongsian ilmu dalam
bidang sastera
4. pandangan terhadap karya-karya sastera yang diberikan secara
peribadi
5. mempromosikan karya sendiri serta programnya untuk disertai oleh
golongan yang berminat
Daripada aspek penyebaran karya-karya
sastera di laman muka buku, beliau sangat aktif untuk berkongsi hasil-hasil
karya sastera yang dihasilkan oleh beliau sendiri dan hasil karya yang turut
dihasilkan oleh penulis-penulis lain. Berdasarkan penelitian penulis,
sasterawan negara ini banyak berkongsi hasil karya daripada pelbagai jenis
bahan sastera namun yang paling kerap sekali dikongsikan oleh beliau adalah
daripada jenis cerpen, sajak dan puisi. Sebagai contohnya, cerpen-cerpen yang
pernah dikongsikan oleh beliau di laman muka bukuya ialah cerpen Dendam Belantara dan Menjelang Pemilihan. Sajak yang pernah
dikongsikan pula adalah seperti Dari
Gunung Jerai ke Pekan Rabu, Are You Still Playing Your Flute, Dusun yang Hilang
dan banyak lagi. Perkara yang menarik perhatian penulis dalam perkongsian ini,
beliau dilihat pandai memanfaatkan medium muka buku dengan menggunakan video,
gambar, audio dan sebagainya untuk menarik perhatian pengguna lain. Hal ini
sememangnya dapat menarik perhatian pengguna muka buku yang lain kerana karya
sastera itu sudah tidak perlu dibaca di dalam buku lagi serta lebih interaktif
sifatnya dalam media sosial.
Selain itu juga, aktiviti yang jelas
dapat dilihat dalam akaun muka bukunya ialah beliau sentiasa berkongsi tentang
program-program sastera yang berlaku di negara kita dan khususnya yang
melibatkan beliau sendiri. Program-program sastera yang dikongsikan itu bukan
sahaja berlangsung di negara kita malahan turut melibatkan negara-negara asing
lain seperti Indonesia, Thailand, Brunei, India dan banyak lagi. Antara
program-program sastera yang pernah dikongsikan oleh beliau ialah Diskusi
Budayawan Selangor, Gegar Puisi 2, Program Diskusi Bersama Tokoh Sasterawan
Negara, Festival Persuratan Melayu Nusantara, Bengkel Mengarang Syair dan Puisi
di APM dan banyak lagi. Berdasarkan penelitian penulis, jumlah peserta-peserta
yang menyertai program-program ini sememangnya agak ramai dan amat membanggakan
kerana masih wujud golongan yang meminati sastera walaupun negara sedang
menghadapi arus pemodenan. Bukan itu sahaja, peserta-peserta dan
pengkarya-pengkarya yang hadir tidak tertumpu hanya kepada rakyat Malaysia
semata-mata tetapi turut melibatkan penyertaan dari negara-negara lain.
Manfaatnya di sini dapat dilihat terwujudnya hubungan antara pelbagai negara
dalam satu bidang yang diminati bersama iaitu aspek sastera. Perkongsian
program-program ini juga memperlihatkan Dato Dr Zurinah Hassan sangat aktif
bagi memastikan kelangsungan bidang sastera dalam negara kita khususnya dan
dunia umumnya.
Bukan itu sahaja, beliau sangat
terbuka dalam berkongsi ilmu berkaitan bidang sastera dengan pengguna-pengguna
muka buku yang lain. Ilmu dan pengalaman beliau dalam bidang sastera
sememangnya tidak dapat disangkal kebenarannya. Hal ini dapat dibuktikan
apabila beliau banyak berkongsi tentang ilmu sastera kepada masyarakat seperti
garis panduan mengarang puisi, pantun: antara pembayang dan maksud, penggunaan
hiperbola dan personafikasi dalam pantun, serta banyak lagi. Perkongsian ini
dilakukan secara percuma dengan memuat naik status di laman muka buku beliau.
Kesannya masyarakat mendapat input dan maklumat jelas mengenai ilmu sastera
dari tokoh yang berwibawa dalam bidang berkenaan. Selain itu, beliau juga
dilihat sentiasa memberi pandangan terhadap isu dan hasil karya yang dihasilkan
pada zaman sekarang. Antara pandangan yang diutarakan beliau dalam muka bukunya
ialah berkenaan unsur alam dalam puisi penyair Sabah, pandangan terhadap filem
BILUT 2016 dan banyak lagi. Sebagai seorang yang mempunyai kemahiran dalam
bidang sastera, pendapat beliau perlulah diterima dan digunakan dalam penghasilan
karya-karya lain pada masa akan datang.
Beliau juga memanfaatkan akaun muka
bukunya untuk mempromosi program-program dan hasil karya sasteranya. Hal ini
dapat dilihat apabila sesuatu karyanya yang sudah siap dihasilkan dan bakal di
jual di pasaran, maka beliau akan mempromosikan perkara ini kepada rakan-rakan
muka bukunya. Program-program yang dianjurkan khususnya melibatkan beliau
sebagai panel atau fasilitator akan diwar-warkan di media sosial ini demi menarik
perhatian para pengguna muka buku yang lain. Antara contoh hasil karya
sasteranya yang dipromosikan dalam muka buku ialah Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan 2004, Puisi Melayu Tradisional, Unsur
Alam dalam Puisi Melayu Moden dan banyak lagi.
Program-program atau
bengkel-bengkel yang pernah dipromosikannya pula ialah Bengkel Penghayatan
Pantun, Kembara Budi Sasterawan Negara, Program Titisan Ilmu dan Taburan Budi
serta banyak lagi. Nama dan imejnya yang gah dalam bidang sastera telah
memperlihatkan sambutan yang hebat dalam kalangan masyarakat di negara kita dan
beberapa negara lain.
Akhir sekali, aktiviti yang dapat
dilihat dalam akaun muka buku milik Zurinah Hassan ialah beliau bersifat
terbuka ketika berinteraksi dengan rakan-rakan pengguna muka buku yang lain. Hal ini dapat dilihat apabila
beliau sentiasa membalas pertanyaan rakan-rakan tentang isu sastera, membalas
kebanyakan komen-komen orang lain dalam akaunnya dan banyak lagi. Walaupun
sibuk dalam perjuangan memartabatkan sastera namun beliau masih ada masa untuk
berinteraksi dengan pengguna facebook yang lain. Selain itu juga, beliau
bersifat terbuka terhadap pandangan orang lain terhadap karya sastera yang
dihasilkannya. Hal ini dapat dilihat apabila beliau sudi untuk berkongsikan
pandangan-pandangan orang lain dengan memuat naik status di akaun muka bukunya.
Penggunaan muka buku ini membolehkan interaksi berlaku antara penghasil karya
dengan pembacanya. Hubungan dua hala ini mungkin dapat memberi impak positif
terhadap mutu penghasilan karya sastera pada masa hadapan.
PENUTUP
Dengan ini jelaslah, Zurinah Hassan
sememangnya aktif dalam akaun muka bukunya. Pelbagai aktiviti dilakukan oleh
beliau dalam aplikasi berkenaan. Sifatnya yang aktif dan terbuka dalam media
sosial ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat khasnya dalam penyebaran
karya-karya sastera yang semakin dipinggirkan hari ini. Melalui akaun muka
bukunya, dapat disimpulkan bahawa beliau telah memanfaatkan salah satu ciptaan
kemodenan iaitu media sosial sebagai salah satu medium lain dalam
memperjuangkan martabat bahasa Melayu di negara kita khususnya dan dunia
umumnya. Diharapkan para penulis dan pengkarya lain turut sama menggunakan
medium media sosial sebagai tempat untuk berkarya kerana cita rasa masyarakat
pada hari ini sudah berubah dan tidak lagi sama seperti dahulu yang mengharapkan
karya-karya sastera dihasilkan dalam buku sahaja.
syabas...
BalasPadamTerima Kasih
BalasPadamBetul, penyebaran karya sastera melalui media sosial antara cara yg paling mudah untuk sampai kepada pembaca sastera. Info yg sngat berguna. Terbaik .
BalasPadam