Sabtu, 24 Mac 2018

"Angan-Angan Mat Jenin?"




"ANGAN ANGAN MAT JENIN SEBAGAI LAMBANG PEMIKIRAN KREATIF, INOVATIF DAN FUTURISTIK"

Sejak kecil lagi kita sudah mendengar Cerita Jenaka Mat jenin. Namun dewasa ini cerita Mat Jenin sudah samar-samar di ingatan kita. Mari sama-sama kita saksikan video ringkas tentang Cerita Jenaka Mat Jenin ini. 

Cerita Jenaka Mat Jenin merupakan salah satu jenis cerita jenaka yang termasuk dalam prosa tradisional. Cerita ini berkisarkan satu bentuk pemikiran yang diilhamkan dari sebuah angan-angan. Angan-angannya bermula dari mendapat upah sehinggakan bertemu dengan puteri raja. Dia berangan untuk menggunakan upah memanjat pokok kelapa bagi membeli 20 biji telur ayam kampung. Setelah itu dia berhasrat telur ayam itu dieramkan dan bercadang menjual ayam-ayamnya. Kemudiannya wang itu akan digunakan untuk membeli beberapa ekor kambing. Setelah kambing membesar dia akan menjualnya dan membeli beberapa ekor lembu. Apabila lembu membesar dia berhasrat untuk membeli beberapa ekor kuda. 
Jika diteliti secera holistik berkenaan angan-angan yang dikemukakan di dalam Cerita Mat Jenin ini, beliau mempunyai satu bentuk perancangan yang jelas berkenaan masa hadapan. Bermula daripada bawah iaitu hasil upah mengutip buah kelapa, Dia ingin mengembangkan angan-angan tersebut untuk membeli telur ayam dan setelah menetas dan menghasilkan telur yang baru, dia ingin membeli kambing, lembu dan sebagainya. Perincinan yang jelas terhadap visi dan wawasannya untuk menjadi seorang penternak atau usahawan yang bermula dari bawah dan seterusnya berkembang maju. Pemikiran tersebut pada zaman dahulu boleh dianggap pemikiran yang maju dan terkehadapan berikutan sistem masyarakat pada zaman dahulu yang lebih kepada ekonomi sara diri dan sistem barter umumnya.
Pada waktu dahulu, setiap yang dicipta di sekeliling kita pada dasarnya dianggap sebagai satu bentuk angan-angan oleh masyarakat setempat pada ketika itu. Misalnya adik beradik Wrights dianggap gila, Alexender Graham Bell dianggap kuat berangan kerana ingin bercakap dengan orang yang jauh dan Watts ditertawakan orang kerana menyumbat kendi air yang menggelegak. Begitu juga dengan hasil kekreatifan Mat Jenin dalam menghasilkan satu bentuk perniagaan dan bukanlah hanya omongan retorik semata-mata. Dapat dilihat disana mereka kesemuanya dilihat suka-berangan-angan, kemudian mempunyai pemikiran kreatif dan seterusnya mencipta kejayaan.
Inovatif secara umum memiliki makna iaitu mencurahkan segala kemampuan diri dalam berfikir untuk menciptakan sesuatu yang baru bagi diri kita mahupun masyarakat dan lingkungan sekitar kita. Inovatif yang ingin dilakukan oleh Mat Jenin iaitu daripada sebiji telur ayam yang kemudiannya mampu menjadi seekor kuda. Beliau ingin mengembangkan hasil pemikirannya kepada sesuatu yang baharu dan lebih berharga.
Dari segi bentuk futuristik, watak Mat Jenin tersebut adalah satu bentuk watak yang mempunyai perancangan yang cemerlang. Beliau dilahirkan dalam ruang lingkup yang amat terbatas. Tidak mempunyai sebarang aset berbentuk fizikal dan material yang menonjol tetapi mempunyai daya berfikir yang positif, kreatif dan imaginatif. Perkara Ini meletakkan posisinya jauh terkehadapan daripada manusia seangkatannya pada waktu tersebut. Perkara menarik mengenainya adalah keupayaannya berfikir, merangka strategi dan melaksanakan pelan tindakannya secara kemas, rapi tersusun dan bersistematik. Manusia biasa yang tidak memiliki daya fikir yang tinggi akan gagal menerokai lapisan dan variasi pola pemikiran dan strategi Mat Jenin. Mat Jenin berupaya berfikir untuk melonjakkan status-quonya daripada manusia miskin kepada jutawan.
Perkara ini juga mampu menjadi cerminan sosial kepada masayarakat kita untuk berani berfiir dan berwawasan. Anehnya wataknya hanya dimatikan sedemikian sebagai seorang yang kuat berangan dan mati ketika berangan tanpa diketengahkan inti sari angan-angan tersebut. Mereka yang menulis tentang Mat Jenin harus kuat dan luas imaginasi mereka. Perkara tersebut boleh dijadikan satu bentuk pelajaran khususnya masyarakat sekarang untuk berani kehadapan dan meneroka segala bentuk peluang yang ada pada masa kini. Sepatutnya imaginasi beliau diperpanjangkan seperti kegilaan tokoh-tokoh barat yang lain.  Melihat kepada futuristik, Mat Jenin itu adalah kita, adalah Melayu yang pada setiap detik dan ketika mahu mencipta angan-angan dan merealisasikan menerusi usaha yang bersungguh-sungguh. 
Kesimpulannya, Mat Jenin merupakan satu perwatakan yang mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif dan futuristik. Pemikiran ini sewajarnya wujud dalam setiap pemikiran masyarakat pada hari ini. Tidak salah untuk berfikir dan merancang untuk menjadi seseorang yang hebat. Sepatutnya kita tidak boleh merendahkan impian dan pemikiran orang lain. Hal ini demikian kerana setiap daripada kita mempunyai impian tersendiri dan memerlukan dorongan daripada orang sekeliling untuk memastikan kita berjaya merealisasikan wawasan itu.

Ahad, 11 Mac 2018

Sorotan Kajian Berkenaan E-Sastera


SASTERA SIBER DAN PERKEMBANGANNYA DI MALAYSIA (SUMBER TEMPATAN)
Kajian Chew Fong Peng (2009), iaitu “Sastera Siber dan Perkembangannya di Malaysia” memperlihat berkenaan era teknologi maklumat yang telah merubah wajah sastera Melayu dari bentuk lisan dan bercetak kepada bentuk sastera siber menerusi kemudahan internet. Menurut kajian tersebut terdapat lebih 542 laman web khusus untuk sastera siber Melayu di internet. Di Malaysia terdapat beberapa laman utama yang menyediakan ruang untuk peminat dan kelompok muda untuk berkarya. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pengedaran borang soal selidik dan temubual. Hasil kajian mendapati terdapatnya beberapa faktor yang mendorong penyertaan masyarakat dalam berkarya menerusi alam siber. Menurut kesimpulan di dalam kajian beliau karya sastera alam maya adalah bersifat lebih dinamik dan hidup. Dalam pada itu, soal jaminan mutu anjakan paradigma masyarakat, yakni tugas untuk memastikan mutu karya kreatif itu terletak di bahu pengarang itu sendiri. Berikutan itu, karya E-Sastera memberikan ruang interaksi antara penulis dengan pembaca.

Chew Fong Peng  (2009), “Sastera Siber dan Perkembangannya di Malaysia”.
 Penerbitan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

IMPACT OF TECHNOLOGICAL ADVANCEMENT ON LITERATURE (SUMBER LUAR NEGARA)

Bharat R Gugane telah melakukan kajian terhadap e-sastera dalam jurnalnya yang bertajuk “Impact of Technological Advancement on Literature” (2014). Penulisannya adalah bertujuan untuk melihat impak positif dan negatif teknologi terhadap karya dan bidang kesusasteraan itu sendiri.
Menurut Arnold, kesusasteraan ialah perkara asas dalam mengenali diri sendiri dan dunia ini manakala sains ialah satu perkara yang perlu dilihat dalam sastera. Maka sains merupakan satu bahagian dalam sastera. Ramai penulis yang mengaitkan hubungan sains dan sastera pada sebelum ini. D.H.Lawrence pula mengatakan sains ialah bidang ilmu tentang manusia dalam bentuk yang separa manakala sastera ialah kajian manusia dalam bentuk yang penuh atau hakiki. Beliau menyatakan teknologi merupakan agen penghubung kepada sains dan sastera. Teknologi telah mengubah budaya, sosial, dan kehidupan berekonomi manusia secara drastik dari zaman yang lepas. Kesusasteraan turut terikut dengan perkembangan teknologi pada hari ini. Hal ini kita dapat lihat sastera pada zaman dahulu cuma mampu untuk dibukukan tapi pada zaman teknologi ini semuanya dalam bentuk digital serta mampu diakses hanya menggunakan telefon bimbit dan komputer. Antara impak positif teknologi dalam sastera ialah penghasilan bahan sastera semakin mudah jika dibandingkan pada zaman dahulu. Jika dahulu buku dibukukan oleh penulis dan memakan masa beberapa bulan untuk diterbitkan tetapi dengan adanya teknologi, buku dihasilkan dalam bentuk digital dan boleh diakses menggunakan internet sahaja. Buku dalam bentuk digital lebih dapat menarik minat pembaca berbanding buku yang dibukukan. Sebagai contohnya Amazon iaitu salah satu nama besar dalam penghasilan buku telah menghasilkan “Kindle”, satu perisian elektronik untuk membaca buku. Selain itu, pengkarya dan penulis lebih bebas untuk berkarya dalam e-sastera kerana tidak menggunakan kos. Mereka boleh berkarya dan menyampaikan imaginasi mereka melalui blog mereka sendiri. Bukan itu sahaja, penulis juga boleh berinteraksi dengan pembaca melalui teknologi. Hal ini berbeza dengan buku tradisional yang menghadkan interaksi antara pembaca dan pengkarya.
Terdapat juga impak negatif e-sastera kepada masyarakat dan dunia. Salah satunya ialah ia memerlukan pengetahun dalam bidang teknologi untuk mengakses bahan sastera. Masih ramai lagi masyarakat yang tidak pandai menggunakan komputer, telefon bimbit dan alat teknologi yang lain. Selain itu, kualiti karya sastera juga mungkin berkurangan. Hal ini kerana pengkarya obses menghasilkan kuantiti karya yang banyak tanpa menitikberatkan kualiti sesebuah karya itu. Maka bidang sastera dipenuhi dengan bahan-bahan penulisan yang kurang berkualiti.
Teknologi dan sastera tidak dapat dipisahkan kerana ianya saing berkaitan. Sastera merupakan saksi rakaman kehidupan manusia sejak dahulu lagi. Manakala kehadiran teknologi telah mengubah bidang sastera dari segi penghasilan karya dan pengedaran buku-buku sastera. Perubahan yang ketara ialah daripada bentuk buku bertulis kepada bentuk buku digital.

Bharat R Gugane (2014), “Impact Of Technological Advancement On Literature”.
New Man International Journal Of Multidisciplinary Studies, Department of English, Bhonsala Military College, Rambhoomi, Nashik (MS).







Apa itu E-Sastera? Mari kita rungkai melalui video dibawah